Nikmat Allah selalu dilupakan

    Angin malam membuatkan aku memeluk tubuh sambil menahan diri dari menitiskan air mata. Melihat langit ibarat hamparan permaidani yang dihiasi manik-manik cahaya yang sangat cantik membuatkan aku memikirkan sejarah hidup aku. Ya Allah, apakah jalan yang aku pilih ini jalan yang terbaik buat diriku? Apakah ini semua dapat membuatkan aku menjadi hamba yang bersyukur?. Sungguh, aku rindukan keluargaku yang jauh beribu batu di asia sana.
  
     Aku cuba mengingat kembali beberapa perkara yang berlaku dalam hidup aku hari ini yang menjentik hatiku untuk menjadi hamba yang bersyukur. Pagi tadi, aku ditegur oleh sahabatku tentang diriku yang kelihatan tidak terurus fizikal dan mental. Diriku yang asyik termenung dan memikirkan sejarah silam membuatkan mood studynya terganggu lalu dia berhenti dari belajar dan menyoal aku, "aku tak nampak langsung yang kau dah move on! Sampai bila kau nak jadi macam ni? Kau kena fikir satu perkara sahaja tanpa memikirkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku". Aku hanya mampu merungut dan menangis memikirkan perasaan tawar hati dan serabutnya fikiran sekarang. Dan akhirnya, dia membantu aku mencari penyelesaian kepada persoalan-persoalan aku dan akhirnya aku tertidur kepenatan.

   Isyak tadi, aku whatsapp kawan aku yang lain untuk beritahu berita bahawa aku sedang cuba untuk move on dan aku dah dapat jawapan kepada persoalan hati aku. Dia minta aku jelaskan dapatan aku selama sehari untuk memikirkan persoalan aku itu. Namun, akhirnya perbalahan yang berlaku. Jawapan yang aku beri tidak dapat memuaskan hati dia bahkan tidak menyelesaikan masalah aku. Maka, dia memberi persoalan-persoalan dan provokasi yang aku rasa agak berat untuk aku terima. Dia memprovok aku sehingga tahap emosi aku membuatkan aku menangis dan akhirnya give up untuk meneruskan misi pencarian penyelesaian ini. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membantu aku dengan caranya sendiri dan meminta maaf daripada aku atas silapnya dia menegur aku. Sungguh, aku yang rasa bersalah kerana mengheret dia ke dalam masalah aku yang aku sendiri takut untuk hadapi.

    Hati mula tenang setelah beberapa masalah selesai. Tapi, tipulah kalau aku kata dalam hati aku tiada lagi ruang yang aku tak memikirkan masalah aku. Namun aku mengambil langkah untuk memujuk hati dengan semangat-semangat yang positif. Aku lihat gambar ahli sakanku(baca:asrama) yang dimuat naik ke laman mukabuku, aku semakin jatuh sayang pada mereka walaupun aku masih baru di sini. Mereka menunjukkan aura kebersamaan yang aku rindu setelah berpisah dengan sahabat-sahabat serumahku. aku memuatnaik gambar tersebut di laman media sosial instagram sebagai kenangan. Dan, setelah beberapa minit, aku buka kerana terdapat beberapa comment daripada rakan follower. Dari salah seorang rakan follower yang mengatakan bahawa mereka sentiasa ada untuk aku di atas jalan Allah ini. Sedangkan aku malu padanya kerana dia pernah mengetahui kisah silamku. Tapi bukan itu yang menjadi punca utama aku tergamam. Aku terharu dengan nikmat Allah yang Dia telah beri pada aku. Dalam aku sentiasa merungut dan cuba untuk berputus asa ini, Dia masih membantu aku. Betapa malunya aku dengan Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah.

    Sekarang, di atas bangku hadiqah(baca:taman), aku menangis memikirkan diriku yang sangat tidak berguna ini. Aku malu pada Allah kerana hari ini, aku ada merungut kesedihan sedangkan Allah itu Maha Pemurah. Jam menunjukkan pukul 2:20 pagi namun mata ini tidak mahu lelap. Aku mengira bintang dan cuba mencari bintang-bintang yang besar membayangkan mereka sebagai adik-adik aku di Malaysia. Adik aku berpesan, "kalau kak arij sedih, cari la bintang yang besar dan anggaplah itu adalah saya. Saya sentiasa melihat dan merindui kak arij". Allah, aku penat dengan ujian hidup ini. Seakan tidak mampu untuk bertahan lagi tapi ku gagahkan diri untuk berdiri dan senyum di hadapan manusia lain kerana aku tahu di luar sana masih banyak manusia yang lemah diuji Engkau. Aku tidak mahu memberikan aura negatif pada mereka. Aku mahu memberikan aura bahagia pada orang sekeliling aku kerana aku percaya semua manusia mempunyai masalah tersendiri. Ku pejamkan mata dan berdoa agar esok masih ada peluang buat aku untuk hidup dan berbakti kepada diri sendiri serta agama. Semoga esok masih ada bahagia buat diriku. Maka, nikmat Tuhan yang mana lagi yang kau mahu dustakan,arij? Jadi lah hamba yang bersyukur. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,duhai hati. Tabahlah demi mencapai redho-Nya.

*bangkit dari jatuh memang sukar tapi tak mustahil.

2:28AM

Comments

Popular posts from this blog

Rahmat dalam ujian

How to appreciate others

My idol